Sabtu, 10 April 2010

Kampung Pendam @ Sadong Jaya



Sejarah Sadong Jaya

Sejarah Sadong Jaya (atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Pendam), bermula apabila kawasan ini asalnya diterokai oleh beberapa orang penduduk. Peneroka awalnya ialah Abang Man dan Abang Alet yang berasal dari Sebangan. Tujuan mereka meneroka ialah untuk berkebun di samping membuka kawasan baru bagi penduduk Sebangan.

Sementara nama Pendam diambil berikutan kejadian ramai masyarakat Iban yang menetap di kawasan ini yang meninggal dunia akibat memakan seekor ular besar. Ular ini telah dibunuh kerana sering menganggu tanaman penduduk di sini. Menurut cerita masyarakat, hanya seorang wanita yang sarat mengandung yang tidak memakan ular itu dan melaluinya kejadian ini diceritakan. Dalam Bahasa Iban, perkataan pendam bermaksud “kubur” dan disebabkan kejadian sedih ini, ramai yang dikuburkan di tempat ini mengetahui akan cerita ini.

Kini, nama Pendam hanya tinggal kenangan kerana telah ditukar kepada Sadong Jaya oleh YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud beberapa tahun lepas. Mengikut pemimpin masyarakat di sini, perkataan “Sadong” diambil sempena bentuk geografi kawasan ini iaitu berhampiran dengan Batang Sadong (daripada Kuala Sadong menganjur ke Laut Cina Selatan) dan perkataan “Jaya” pula daripada perkataan “berjaya” yang pastinya menjanjikan kejayaan yang berkekalan.
Pentadbiran Baru di Bawah Daerah Asajaya

Pada 1 Januari 2003 adalah detik bersejarah buat Daerah Kecil Sadong Jaya kerana secara rasminya Daerah Kecil Sadong Jaya diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Asajaya. Ia serentak dengan penaiktarafan daerah kecil Asajaya kepada daerah penuh. Sebelum ini, Daerah Kecil Sadong Jaya diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Simunjan.

Struktur Pentadbiran Lebih Cekap

Pengecilan beberapa kawasan pentadbiran yang kini telah diambil oleh daerah yang berhampiran telah menjadikan ia mudah untuk ditadbir dan diurus.

Terdapat 21 buah kampung berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya meliputi kawasan Sebangan dan Sadong Jaya yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Iban, Cina, Bugis, Jawa dan lain-lain.

Pengangkutan utama kenderaan bermotor. Manakala kawasan Sebangan pula dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Sebuyau.

Masalah tidak lagi timbul untuk ke Sadong Jaya, ini kerana terdapat kemudahan pengangkutan yang berbagai seperti Bas, Van dan Ekspres Air/Bot tambang. Perjalanan ke Sadong Jaya dari bandaraya Kuching hanya memakan masa satu jam sahaja. Kini kebanyakan anak-anak muda Sadong Jaya berulang alik ke bandaraya Kuching untuk bekerja di sektor perkilangan, swasta dan kerajaan.

Kedudukan Pekan Sadong Jaya amat strategik dan merupakan laluan utama sungai dan darat yang merupakan nadi ekonomi bagi daerah ini.

Peristiwa Bersejarah di Sadong Jaya


Mengikut cerita pemimpin masyarakat di sini, di Sadong Jaya pernah berlaku peristiwa bersejarah iaitu apabila kapal Syariff Masahor telah tenggelam akibat diserang oleh penjajah pada masa itu, sebelum mereka melarikan diri dari Ensengai (kawasan Simunjan) ke Lingga. Peristiwa ini telah berlaku di muara Sungai Pendam.

Kemudahan dan Kegiatan Ekonomi di Sadong Jaya

Pekan Sadong Jaya mempunyai sebuah bangunan kedai kayu, gerai Majlis Daerah Samarahan dan 2 buah deretan bangunan konkrit. Selain Pasar Daerah Kecil Sadong Jaya terdapat juga kedai-kedai di kawasan lain seperti di Jemukan (3 buah), Semera (7 buah) dan masing-masing sebuah di Terasi dan Iboi.
Sumber pendapatan utama penduduk di sini ialah pertanian iaitu menanam pelbagai jenis tanaman seperti kelapa, koko, padi, buah-buahan seperti durian, rambutan, mangga dan lain-lain. Setakat ini semua kampung telah melibatkan diri dalam Skim Jabatan Pertanian selain skim pertanian bersepadu atau berkelompok (melibatkan 17 penduduk) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Di samping itu, ada segelintir yang menjadi nelayan serta berniaga kecil-kecilan. Ikan Terubok juga adalah spesis ikan utama yang boleh didapati di sini sekiranya tiba musimnya.

Rata-ratanya kaum Cina yang menetap di sini terdiri daripada golongan peniaga dan juga mengusahakan ternakan udang harimau. Di Sadong Jaya juga terdapat Kilang Tebaloi yang diusahakan oleh pertubuhan peladang.

Kegiatan pertanian berskala besar terutamanya penanaman kelapa sawit juga diusahakan di Sadong Jaya dengan FELCRA memainkan peranan utama. Ladang kelapa sawit yang dibuka ini telah memberi peluang pekerjaaan kepada belia dan penduduk setempat. Ia melibatkan penduduk di 5 kawasan iaitu Sungai Buluh, Senagih, Serasi, Sadong Jaya dan Jemukan.

Kemudahan Asas Sadong Jaya

Kemudahan-kemudahan asas seperti jalanraya menghubungi Sadong Jaya ke Sungai Bulu sepanjang 11.7 km dengan menelan belanja RM215 juta dan siap dibina dalam tahun 1999. Rangkaian jalanraya ini meliputi kawasan Sungai Bundong, Sungai Bulu, Rangawan, Senageh, Terasi Ulu, Terasi Iban, Sungai Putin, Sungai Bilis dan Tanjung Kelaso/ Rangkang banyak memberi faedah kepada penduduk terutama dari segi pemasaran hasil tani. Terdapat juga sebuah Klinik Kesihatan Sadong Jaya. Kemudahan tempat beribadat juga tidak diabaikan dan setakat ini terdapat 10 buah masjid, 1 gereja dan 3 tokong.

Pendidikan

Daerah Kecil Sadong Jaya mempunyai keistimewaan tersendiri sebabnya hanya di Sadong Jaya sahaja terdapat Pesantren yang menekankan pelajaran agama iaitu Pesantren Abdul Taib Mahmud (PATM) yang telah diwujudkan tahun 1992. Selain itu, terdapat 8 buah sekolah kebangsaan, 2 buah sekolah jenis kebangsaan dan sebuah sekolah menengah.

Selain itu, kira-kira 15 km dari pekan Sadong Jaya terdapat sebuah institusi pendidikan teknikal iaitu Pusat Giat MARA Batang Sadong yang menawarkan beberapa kursus seperti Teknologi Automotif/Teknologi Membaiki Motosikal dan Teknologi Fabrik Jahitan yang terletak di Kampung Semera.

Pembangunan Sadong Jaya

Kawasan Sadong Jaya adalah dibawah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.18 Sadong Jaya iaitu YB Haji Wan Abdul Wahab Bin Wan Sanusi dan ahli Parlimen P.174 Batang Sadong YB Nancy Shukri sedang menuju ke arah pembangunan.

Sejak berkembangnya perubahan pembangunan di daerah ini khususnya rangkaian jalanraya, penduduk yang tinggal di Sadong Jaya kini boleh pergi ke bandaraya Kuching dalam masa yang singkat. Ia juga memberi kesan kepada pengangkutan hasil pertanian dan beberapa urusan harian penduduk yang berlaku di kampung dapat diuruskan dengan segera kerana perjalanan akan mengambil masa yang singkat. Perubahan pembangunan di kawasan ini merupakan salah satu kelebihan kepada penduduk-penduduk di Sadong Jaya dan ini berkat konsep politik pembangunan yang diasaskan oleh pemimpin kita dan ternyata ia diterima baik oleh penduduk.

Fakta Daerah Kecil Sadong Jaya

Kedudukan 15 km dari Daerah Asajaya, 75 km dari dari Kuching,
25 km dari Samarahan (menggunakan perkhidmatan Feri)
Keistimewaan Sadong Jaya terkenal dengan hasil pertanian seperti
kelapa, nanas, limau dan sebagainya.
Komposisi Penduduk Melayu (9,363), Cina (898), Iban (725), Lain-Lain (586)
Pekerjaan Utama Nelayan (15%), Petani (40%), kerajaan (15%), swasta (25%), Lain-Lain (5%)
Kemudahan Asas Bekalan Air, Elektrik, Telefon, Sekolah Rendah (8), Sekolah Jenis Kebangsaan (8), Sekolah Menengah (1), Pesantren, Masjid (10), Surau (17), Gereja (1), Tokong (3), Klinik Kesihatan (3), Dermaga (1)
Perhubungan Utama Perjalanan darat (Bas, Van Sewa dan Kenderaan Sendiri)
Agensi Kerajaan KEMAS, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan, Polis, RELA, Majlis Daerah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Pusat Giat MARA dan FELCRA
MP / ADUN YB Haji Wan Abdul Wahab Bin Wan Sanusi (N.18 Sadong Jaya)
YB Hajah Sukinam Domo (P.174 Batang Sadong)





Khamis, 8 April 2010

Manchester United Tersingkir

Manchester United (MU) akhirnya tersingkir daripada Liga Juara2 di peringkat suku akhir di tangan Bayern Munich. Walaupun menang 3-2, MU terkeluar daripada persaingan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan. Nampaknya tiada pasukan dari Liga Perdana Inggeris beraksi di perlawanan akhir Liga Juara2 di Real Madrid pada bulan Mei nanti. Bravo Bayern Munich...

Bola...bola...bola

Malam ni mata tak nak tidur. Aku layan siaran langsung 'Champions League' yang melibatkan perlawanan di antara Manchester United VS Bayern Munich. Setakat ni MU 3-Bayern 1. Belum tahu lagi siapa pemenangnya. Rasa2nya perlawanan seimbang.

Bayi Blog

Aku masih bayi lagi dalam blog ni. Cuba2 nak menampilkan diri dalam dunia blog. Tujuan hanya satu, untuk berhubung dan berkomunikasi dalam dunia maya siber. Harap2 dapat jumpa teman2 dan rakan2 , atau pengunjung yang sangggup bertukar2 fikiran dan memberi idea yang bernas.