Ahad, 8 Ogos 2010

Kahwin muda atau berzina?

MINGGUAN: Bagaimana timbulnya cadangan mewujudkan sekolah hamil dan membenarkan perkahwinan bawah umur?
MOHD. ALI: Di Melaka kita telah menganjurkan dua seminar sosial iaitu bagi peringkat negeri dan kebangsaan. Di dalam kedua-dua seminar itu para peserta menyatakan kebimbangan yang amat sangat tentang gejala sosial termasuk kes buang bayi, hamil luar nikah, rogol dan sebagainya. Lebih menyedihkan kebanyakan kes melibatkan orang Islam.
Lalu diakhir seminar itu disarankan supaya diadakan pelbagai program untuk mengatasi gejala sosial termasuk mengadakan ceramah motivasi dan seminar pendidikan. Paling mustahak sekali jalan penyelesaian yang dicadangkan adalah balik kepada ajaran agama. Kita dah cuba banyak bidang tetapi sehingga hari ini statistik kes-kes tersebut bukannya menurun sebaliknya makin meningkat.
Di Melaka kita perkenalkan program Rumahku Syurgaku, kita beri pegawai tambahan, kita adakan ceramah tambahan di semua peringkat, tapi jumlah kes sosial semakin meningkat malah perceraian pun makin meningkat. Ini bermakna pendekatan yang lepas kurang berkesan. Apa yang kita lihat anak-anak muda banyak terlibat dalam kes buang bayi, hampir setiap bulan ada kes tersebut tidak kira di Melaka atau pun negeri-negeri lain. Semuanya berlaku.
Kita lihat kes buang bayi di negeri Melaka. Pada 2001 ada satu kes, tahun ini pula tiga kes buang bayi. Bagi kes bayi lahir luar nikah pula pada 2009 ada 391 kes dan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 174 kes dicatatkan. Ini amat merunsingkan. Bagi tahun lepas kes lahir bawah umur 16 tahun adalah sebanyak 33 orang, manakala 114 kes pula (17-20 tahun), 123 kes (21-24 tahun), 57 kes (25-30 tahun), 3 kes (31-40 tahun) dan satu kes (41 tahun ke atas).
Maknanya hampir 78 peratus yang terlibat dalam kes hamil luar nikah adalah remaja bawah umur 24 tahun.
Jadi apa punca yang sebenar?
MOHD. ALI: Saya melihat isu yang sebenar adalah budak-budak muda ini hendak berkahwin tapi tidak dibenarkan, jadi mereka berzina. Bila berzina mereka takut ibu bapa marah, takut kena halau maka untuk elak itu semua jadilah kes buang bayi.
Mengapa kita biarkan mereka berzina? Bukankah elok kita bagi mereka kahwin pasal itu yang mereka hendak. Kita tak bagi kahwin sebab mereka muda, kerja pun tak ada, ada yang masih bersekolah. Jadi saya berpendapat cadangan seminar adalah berbalik kepada agama, jadi apakah yang terbaik selain mengahwinkan mereka? Kalau kita tak mengahwinkan mereka, mereka akan bersekedudukan, ada hubungan seks sehingga mendapat anak luar nikah.
Sedangkan walaupun mereka bawah umur 16 tahun, tetapi sudah akil baligh dan tidak dapat menahan nafsu. Sama ada ibu bapa tahan, ustaz tahan, Ketua Menteri tahan mereka tidak peduli, mereka nak kahwin juga. Jadi daripada buat maksiat bukankah lebih baik mereka dikahwinkan.
Persoalannya sekarang, mengahwinkan pasangan muda selesai timbul pula masalah lain, mereka tidak bekerja dan masih bersekolah, apa masa depan mereka?
MOHD. ALI: Lepas dikahwinkan kerajaan negeri akan bimbing mereka. Ada yang bertanya bagaimanapun pula kalau mereka dah kahwin sedangkan mereka budak sekolah, siapa nak tanggung. Bagi saya benda itu semua tidak sepatutnya timbul. Daripada ibu bapa tanggung malu, nak kena jaga anak luar nikah lagi baik jaga cucu yang halal kerana anak mereka sudah berkahwin. Cumanya ada ibu bapa yang miskin, ada juga remaja daripada keluarga bermasalah maka kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk membiayai perkahwinan mereka dengan perbelanjaan RM500 majlis yang cukup untuk upah nikah, saksi dan sebagainya. Mas kahwin boleh hutang.
Selepas menjadi suami isteri kalau ibu bapa tidak mahu jaga, kerajaan negeri akan ambil tanggungjawab untuk jaga pasangan yang halal bernikah ini. Saya percaya daripada jaga pasangan yang berzina elok kita jaga pasangan halal bernikah. Kalau mereka masih bersekolah, biarkan mereka terus pergi sekolah, tetapi rupa-rupanya budak sekolah salah, mengandung kena berhenti.
Maka saya cadangkan tubuh sekolah untuk remaja hamil bernikah. Timbul pula persoalan siapa nak tubuhkan sekolah itu. Kita bersetuju JAIM akan tubuhkan sekolah seumpama itu supaya pasangan remaja yang bernikah, kemudian mengandung dapat meneruskan persekolahan mereka di situ. Mereka akan diajar dengan mata pelajaran agama, dididik bagaimana mahu menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan juga perancang keluarga.
Selepas bersalin, kalau ibu bapa remaja masih tak mahu jaga anak dan cucu mereka, maka kerajaan negeri akan jaga. Lebih daripada itu, kita akan usaha mencari keluarga angkat untuk bayi yang dilahirkan oleh gadis remaja ini. Saya percaya ramai yang nak jadi keluarga angkat kepada bayi yang dilahirkan menerusi pernikahan yang halal. Kalau keluarga nak jaga lagi kami alu-alukan. Bukankah menjaga yang halal lebih mudah daripada menjaga yang haram. Kerajaan negeri dapat pahala, saya dapat pahala, tak ada orang kata anak luar nikah.
Mereka juga akan diajar perancang keluarga, oleh itu mereka tahu sama ada nak tambah anak lagi atau nak tangguh dulu supaya dapat meneruskan persekolahan. Kalau belum kahwin nak ajar perancang keluarga seperti dalam pendidikan seks mana boleh, dia orang nak buat apa, dia orang belum kahwin belum nikah tapi kalau dah kahwin apa nak ajar pun boleh.
Datuk Seri tidak nampak sebarang masalah untuk laksanakan semua ini?
MOHD. ALI: Bagi saya memang tidak ada masalah, sebab itu bila kita bawa perkara ini kepada MAIM, semua ahli majlis setuju. Bulan lepas saya jumpa dengan kumpulan amil, di Melaka ada 180 masjid lebih kurang 500 amil datang. Saya terangkan dan mereka bersetuju bahkan ada yang mengemukakan pelbagai cadangan untuk menjaga budak-budak ini dan sekelip mata jawatankuasa yang berkenaan ditubuhkan dan menggerakkan kerja masing-masing.
Perkara ini mendapat perhatian dunia. Reuters pun telefon, saya terangkan antara zina dan kahwin halal, walaupun masih bersekolah saya pilih yang halal. Mereka bawah umur kita ikut undang-undang minta kebenaran mahkamah syariah, bukan kita langgar undang-undang.
Seminar sosial menyarankan supaya kita kembali kepada ajaran agama. Sekarang ini saya ikut ajaran agama tapi ada pula yang kata takut sebab budak-budak belum faham tanggungjawab. Kalau pasal kahwin pun dah faham takkan pula tanggungjawab mereka tidak mahu faham. Dan inilah masanya kita beri mereka tanggungjawab. Ibu saya dulu kahwin umur 14 tahun, ada pula orang kata itu zaman dulu, tapi zaman dulu tak ada video lucah, zaman sekarang video lucah berselerak, patut sekarang umur 8 tahun sudah kena kahwin sebab ‘semangat’ budak-budak sekarang tinggi. Pancaroba lebih kuat daripada dulu. Saya akui jalan terbaik kita kena balik kepada agama walaupun syarat untuk berkahwin belum beberapa cukup, tapi antara zina dengan anak lahir luar nikah, lebih baik kahwin dan lahirkan anak yang sah taraf.
Bagaimana Datuk Seri melihat kesan jangka panjang?
MOHD. ALI: Dalam hal ini kerajaan negeri melaksanakan program sampingan untuk memastikan kesan jangka panjang yang positif. Kerajaan negeri mahu bertanggungjawab sepenuhnya dalam membendung gejala sosial. Kita fikirkan program keluarga angkat kerana yakin anak-anak halal berebut orang nak jaga. Anak luar nikah pun ramai orang nak jadikan anak angkat inikan pula anak yang halal. Apatah lagi jika matlamat menjadikan anak-anak ini anak angkat supaya remaja yang berkahwin muda dapat meneruskan persekolahan. Mengapa nak bagi pandangan negatif, jangan takut untuk jadi positif dan banyak masalah boleh selesai. Kita terlalu terikat dengan itu tak boleh, ini tak boleh dan pada masa yang sama orang beranak luar nikah semakin bertambah.
Sebelum ini kita kata kena didik ibu bapa untuk kurangkan gejala sosial tapi sudah puas ibu bapa dididik menerusi seminar, ceramah agama, program Rumahku Syurgaku tapi anak luar nikah makin banyak. Ada pula yang kata sebab banyak pub sana-sini, ada kerajaan negeri pub pun tak ada tapi anak luar nikah banyak juga. Maka saya yakin jawapannya adalah mengetahui apa sebenarnya kemahuan mereka. Oleh itu kalau ada anak kata ‘Alah mak kahwinkan aku’ maka ibu bapa kena positif fikiran, kalau anak nak kahwin janganlah risau hati. Ibu bapa patut bersyukur dapat cucu lebih awal, jabatan agama nak tolong anak-anak mereka daripada buat maksiat atau lari daripada rumah buat kerja tak senonoh, akhirnya berzina dan melakukan hubungan seks dengan macam-macam orang dan akhirnya lahirkan anak luar nikah, kemudian buang bayi yang tidak berdosa itu.
Datuk Seri tidak percaya pendidikan seks mampu kurangkan kes buang bayi dan hamil luar nikah?
MOHD. ALI :Pendidikan seks tidak akan membantu sama sekali dan tidak perlu pun mata pelajaran tersebut diajar di sekolah. Saya juga melihat tidak ada sebab pun mengapa kita nak ajar dia orang pendidikan seks malah kadang-kadang itu pun punca berlakunya seks bebas. Nak ajar buat apa mereka belum belum kahwin, maka pendidikan seks tak patut diajar disekolah. Nak ajar jaga kesihatan, mata pelajaran kesihatan dah ada, mata pelajaran agama ajar cara mandi junub dan macam-macam lagi maka mata pelajaran pendidikan seks Barat yang menawarkan salah satu bahagian penting bagaimana mencegah hamil adalah sesuatu yang tak patut diajar kepada orang yang belum kahwin.
Saya juga berpendapatan ia akan menggalakkan lagi seks luar nikah sebab itu kita tak setuju, siap buat kempen sekali, apa itu semua. Kita boleh jaga berpuluh ribu orang miskin dan berbelanja RM5 juta untuk bantu mereka, takkan tak boleh tolong remaja supaya mereka berkahwin dan mengadakan seks halal.
Bagaimana Datuk Seri jangkakan sambutan kelak?
MOHD. ALI: Kalau masih nak berzina saya tak tahu nak buat apa lagi. Saya dah adakan ruang, jangan esok mereka kata kerajaan tak buat apa, kerajaan tidur, aku nak kahwin dia tak bagi, ibu bapa pun dikatakan tidur dan tidak buat apa-apa. Sekarang ini kahwinlah kita tak halang hasrat mereka. Makan minum kerajaan tanggung, sekolah disediakan, keluarga angkat boleh dicari, kalau tak tampil juga tak boleh salahkan kerajaan sebab kerajaan dah ambil segala usaha termasuk jaga anak, sekolahkan dia. Tak timbul soal keciciran sekolah, disisih masyarakat dan lain-lain. Sekarang saya minta mereka tampil, saya percaya dalam kita bercakap ini pun ada yang terlanjur lagi.
Sekarang kita sedang mencari bangunan yang sesuai dan minta kerjasama ibu bapa kerana kita tidak mahu nanti ada sekolah tapi tak ada murid. Ahad ini (hari ini) kita akan adakan seminar di MITC berhubung perkara ini, mudah-mudahan mendapat sambutan.
Saya ambil pendekatan ikut kehendak orang, apa yang mereka hendak. Dulu kita lawan kehendak mereka, sekarang ikut apa yang remaja hendak. Hendak kahwin, kita kahwinkan. Masalah lain kerajaan negeri akan bantu, yang penting dapat elak berzina dan kurangkan masalah sosial.

Analogi daun gugur dan pokok sakit

Oleh Ku Seman Ku Hussain

JALAN singkat untuk menghilangkan daun-daun yang gugur dari pokok yang sakit di sudut halaman ialah menyapu daun-daun itu. Tetapi ini tidak menyelesaikan masalah untuk jangka panjang kecuali merawat pokok itu supaya daunnya tidak gugur lagi.

Analogi pokok sakit dan daun ini sangat sesuai dengan kecenderungan kita mendepani krisis moral remaja hari ini.

Sesetengah daripada kita memilih jalan singkat yang kesannya segera iaitu menyapu daun yang gugur dan halaman kelihatan bersih seketika. Tetapi sebab utamanya kenapa pokok menjadi begitu jarang diambil peduli kerana kerjanya agak kompleks, menuntut kesabaran dan kesannya tidak dapat dilihat dengan kadar segera.

Krisis sosial golongan remaja ketika ini agak genting. Isu pembuangan bayi di merata-rata tempat yang sebahagian besarnya akibat pergaulan bebas. Ia seolah-olah menjadi perkara biasa. Menangani isu sosial seperti ini menuntut perancangan dan pendekatan yang betul untuk hasil jangka panjang.

Saya fikir Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memilih untuk menyapu daun yang gugur dan tidak merawat pokok yang sakit supaya daunnya tidak gugur lagi. Baru-baru ini, MIAM dan JAIM bersepakat untuk menangani gejala remaja hamil luar nikah dengan memberi kebenaran berkahwin sekalipun masih di bangku sekolah. Saya fikir ini hanya menyelesaikan gejala ‘anak luar nikah’ bukannya isu utama krisis sosial yang melanda golongan remaja.

Dalam peraturan baru, lelaki bawah umur 18 tahun dan perempuan bawah 16 tahun boleh berkahwin tetapi prosedurnya mesti melalui Mahkamah Syariah setelah mendapat persetujuan ibu bapa. Pada usia semuda ini sewajarnya mereka berada di sekolah. Memang benar, remaja yang ada masalah sosial tidak minat bersekolah tetapi adakah kita mengikut rentak mereka semata-mata mengurangkan kes pembuangan bayi?

Anak luar nikah atau pembuangan bayi di merata-rata tempat adalah hasil daripada krisis sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Itu adalah produk sosial yang sumbing. Maka yang perlu diatasi sekarang adalah krisis sosial. Ini kerana apabila krisis sosial dapat diatasi, remaja kembali bermoral, kewujudan anak luar nikah dapat dibendung. Tetapi memanglah untuk membanteras akar tunjang yang menyebabkan krisis sosial ini ada kesukaran yang tersendiri.

Saya sangat percaya bahawa mengahwinkan remaja yang masih bersekolah akan mencetuskan masalah sosial yang lebih teruk. Bayangkan apakah akan berlaku kepada pasangan remaja ini selepas berkahwin? Adakah mereka akan menjadi pasangan suami isteri yang bertanggungjawab pada usia yang sangat muda? Mereka yang terlibat dalam krisis moral disebabkan tidak bertanggungjawab.

Mereka tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama. Adakah dalam masa yang sesingkat itu yakni selepas berkahwin, si suami boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik dengan kekangan kewangan, psikologi dan sebagainya? Masalah selepas berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal yang cukup akan menambahkan jumlah perkahwinan yang porak peranda.

Hasrat untuk mengurangkan pembuangan bayi luar nikah oleh MAIM dan JAIM memang baik. Tetapi kita kena realistik bahawa tidak semua hasrat yang baik akan memberikan hasil yang baik dalam erti kata sebenarnya. Biarlah semua perkahwinan itu berlaku selepas persiapan mental yang cukup, bukannya untuk mengelak anak luar nikah. Ini bermakna mereka yang berkahwin tergesa-gesa pada usia yang sangat muda tidak memikirkan perkahwinan itu sebagai sebuah institusi.

Kita juga harus ingat bahawa pasangan yang terperangkap dalam krisis sosial ini tidak semuanya memikirkan soal perkahwinan. Mereka tidak bersedia berkahwin, sebaliknya sekadar berseronok. Kalau dilonggarkan peraturan untuk berkahwin pada usia yang sangat muda, perkahwinan bukanlah matlamat mereka. Perkara yang tidak menjadi matlamat selalunya akan terabai. Saya fikir tentu ada pendekatan lain yang lebih ‘menyembuhkan’ bukan sekadar ‘melegakan’ untuk sementara waktu. Ingat, perkahwinan bukan sandiwara.

Isnin, 2 Ogos 2010

Kemerosotan Bola Sepak Sarawak



Saya merupakan salah seorang peminat bola sepak yang tegar. Di peringkat antarabangsa saya menyokong pasukan seperti Jerman, Brazil, Sepanyol, dan Argentina. Kelab pilihan saya pula adalah Chelsea. Pasukan Kebangsaan Malaysia dan pasukan Sarawak merupakan pasukan kebanggaan saya.

Walau bagaimanapun, tahap pencapaian pasukan Sarawak kini amat mengecewakan saya dan semua peminat. Pasukan Sarawak seperti sudah kehilangan taring yang digeruni lawan pada zaman 'Ngap Sayot' dan Alan Vest dulu. Dimanakah silapnya???

Banyak faktor telah dikenalpasti sebagai punca kemerosotan ini seperti masalah kewangan, disiplin pemain, kekurangan kemahiran dan kecergasan, kekangan kerjaya, dan kurang ketahanan mental. Masalah kewangan dikenalpasti sebagai punca utama masalah kemerosotan pasukan bolasepak Sarawak. Pemain-pemain lambat menerima gaji dan elaun. Keadaan ini akan membebankan pemain kerana mereka mempunyai keluarga yang perlu ditanggung. Secara tidak langsung ia juga akan mengganggu tumpuan pemain terhadap perlawanan.

Pemain Sarawak juga kurang berdisiplin seperti rakan-rakan mereka dalam skuad kebangsaan. Ada diantara mereka yang terlibat dengan rasuah, dadah, kaki kelab malam, dan suka bergaduh. Beberapa tahun lepas ada pemain-pemain Sarawak yang telah ditangkap dan didakwa kerana menghisap dadah (candu). Hal ini sangat mengecewakan peminat yang menjadikan mereka sebagai idola.

Dari segi kemahiran dan kecergasan pemain pula, pemain Sarawak agak ketinggalan jika dibandingkan dengan pemain dari negeri lain. Kelemahan ini berlaku kerana kurang pendedahan di peringkat sekolah dan teknik latihan yang kurang sistematik. Sebagai seorang atlit para pemain perlu cergas dan mempunyai ketahanan. Tambahan pula bola sepak merupakan sukan lasak yang dimainkan lebih daripada satu jam. Jika tahap kecergasan pemain rendah, maka mereka akan banyak melakukan kesilapan.

Kekangan kerjaya juga merupakan punca kemerosotan pasukan bola sepak Sarawak. Para pemain berada dalam dilema untuk memilih di antara kerjaya yang berpendapatan tetap dengan menjadi pemain amatur yang kurang terjamin dari segi pendapatan. Ramai pemain yang berbakat di negeri Sarawak terpaksa memilih kerjaya demi masa depan. Justeru itu, pengurus dan jurulatih terpaksa memilih pemain yang kurang berbakat.

Ketahanan mental merupakan aspek yang terpenting dalam bidang sukan hari ini. Apabila kemahiran pemain hampir sama dan persembahan pasukan yang bertanding seimbang maka ketahanan mental akan menjadi penentu kepada pemenangnya. Jadi faktor ini dilihat masih menghantui pasukan Sarawak. Sebahagian besar kekalahan berlaku selepas pasukan Sarawak mendahului pasukan lawan.

Kesimpulannya, pasukan Sarawak merosot kerana banyak faktor yang sebenarnya boleh diatasi. Untuk menanganinya, pihak berkenaan perlu mengubah dasar pengurusan yang tidak berkesan dan menggantikannya dengan dasar yang lebih sistematik, terancang, dan telus. Kecemerlangan dan kegemilangan pasukan bukan bergantung semata-mata kepada pemain, malah semua pihak termasuk pengurus, jurulatih, FAS, dan peminat.